19 Mac 2011

Kasut Aliph - Kenangan Rocker


Kasut sukan berjenama Aliph mula dipasarkan pada pertengahan tahun 1980-an, iaitu ketika zaman kebangkitan muzik rock di Malaysia. Seperti mana yang diketahui umum, kasut sukan adalah antara aksesori penting yang melengkapkan gaya artis dan band rock pada zaman tersebut, tidak kira di Malaysia atau di luar negara. Sejak itu, pemakaian kasut sukan tidak lagi hanya untuk bersukan atau beriadah, tetapi telah menjadi sebahagian daripada fesyen dan kegunaan harian yang kekal hingga ke hari ini.


Kasut Aliph adalah antara jenama tempatan yang paling popular ketika itu dan sering menjadi pilihan artis dan band rock untuk digayakan, malah jenama tersebut menjadi ikutan para peminat muzik rock umumnya. Kebiasaannya kasut sukan yang mempunyai rekabentuk potongan tinggi (high-cut) paras pergelangan kaki akan menjadi pilihan ramai kerana selain bentuknya yang unik dan menarik, ia juga seakan-akan telah direka untuk kelihatan sepadan dengan potongan seluar sendat yang juga turut menjadi sebahagian daripada fesyen rasmi para rockers ketika itu. 

Kasut Aliph dipasarkan dalam pelbagai warna, bentuk dan model, antara yang popular ialah model Hi-Cut Rider, sementara rekabentuk yang mempamerkan logo besar Aliph dalam pelbagai warna di kiri dan kanan kasut sering menjadi pilihan. Sekitar tahun 1987-88, kumpulan Search telah dipilih untuk memperagakan jenama Aliph secara eksklusif di mana rekabentuk terbaru kasut Aliph telah dikeluarkan secara terhad dan model tersebut dikenali dengan nama Aliph Search. Setelah itu, kumpulan Lefthanded juga mendapat peluang yang sama, di mana mereka muncul memperagakan jenama Aliph Lefthanded..

Pada tahun 1987 juga, jenama Aliph telah menaja kasut untuk filem Rozana Cinta '87, di mana pelakon terkenal Helmi Hussaini dan Erma Fatima dilihat memakai kasut Aliph dalam filem yang mengisahkan tentang pergolakan remaja kota itu. Pada 1989, jenama Aliph sekali lagi mengeluarkan model terbaru, tetapi kali ini mensasarkan hanya kepada golongan gadis remaja, lalu muncullah kasut Aliph Terri yang turut dipasarkan dalam rekabentuk potongan tinggi (high-cut). Tidak lama kemudian, jenama Aliph memperkenalkan pula kasut khusus untuk dipakai ke sekolah, iaitu model White Shadow dan Strike Force yang hanya dikeluarkan dalam warna putih. Dengan itu, jenama Aliph terus mengekalkan popularitinya sehingga ke awal tahun 1990-an. 

Tiada ulasan:

Komik Keluang Man Kembali