Memaparkan catatan dengan label lukisan. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label lukisan. Papar semua catatan

09 Februari 2013

Majalah Fitrah -Bacaan Santai Berilmiah


Salam semua. Apa khabar yer, lama juga tak update sampai orang ingat blog ni dah mati. Okeh untuk post kali ini aku tampilkan citer pasal majalah baru di pasaran iaitu Majalah Fitrah. Majalah Fitrah berkonsepkan siri komik islamik dan info untuk mendidik jiwa remaja. Cover jilid pertama dilukis oleh saudara Athool dan didalamnya terdapat beberapa pengisian yang menarik. Meh tengok previewnya sikit:



Selain menyiarkan artikel yang menarik yang aku rasa tak semua orang tahu, majalah ini turut menyelitkan komik yang memang sesuai untuk semua golongan. Ini dapat menarik golongan muda untuk mendampingi malajah ini. Edisi perdana majalah ni boleh didapatkan di semua kedai buku bermula bulan Januari lepas lagi. Majalah ini diterbitkan secara jilid dan kena tunggu lama sikit untuk isu kedua nanti. Jangan lupa like FB majalah ini di: http://www.facebook.com/majalah.fitrah.5 .


12 Ogos 2012

KOMIK AKU, DIA DAN BUJANG CECAH 130 BUAH LEBIH



Pada minggu lepas jualan komik aku iaitu Aku, Dia dan Bujang volume satu (termasuk repackaged), Bujang dan Kawan-Kawan (Edisi Penang), Aku , Dia dan Bujang volume dua (termasuk cetakan kedua) secara rasminya telah mencecah hampir 130 buah jualannya dimana setiap keluaran aku buatkan edisi terhad. Terima kasih kepada mereka yang menyokong aku selama ini.







Hanya komik Aku,Dia dan Bujang volume 1 (repackaged) dan Aku, Dia dan Bujang volume dua(cetakan kedua) yang masih ada untuk korang rembat buat masa kini. Untuk projek akan datang aku sedang siapkan 100% BUJANG yang mana akan dijual di Comic Fiesta 2012 dan keseluruhan isi kandungan komik akan diwarnakan untk menarik minat korang membaca. Terima kasih terutama kepada rakan-rakan kartunis yang sudi memberi tips dan panduan penghasilan kartun yang berkualiti. Korang boleh terus like page di: www.facebook.com/bujangkartun untuk sebarang info dan updates terkini komik akan datang.

28 April 2012

REVIEW KOMIK BADANG 2012


Bagi korang yang sudah bosan dengan komik di Malaysia yang banyak mempromosikan style manga dalam penghasilan komik-komik, korang patut baca review komik Badang ini.

Komik Badang ini adalah terbitan BA-C MENTE INHOUSE dan konsep komik ini terarah kepada cerita hikayat duhulu kala yang diangkat ke bentuk komik untuk tatapan korang. Gabungan hebat oleh dua orang pemuda berbakat dalam penulisan iaitu Burhanuddin B.S dan pelukis, Imran Marsad sudah pasti membuatkan korang menghayati setiap mukasurat berwarna dalam komik ini.


Pengolahan jalan cerita Badang ini tidak sama dengan apa yang pernah kita dengar sebelum ini. Aku pasti komik seperti ini akan membuka dimensi baru dalam adaptasi hikayat dahulu kala. Dengan gaya bahasa yang cukup indah dan menggunakan bahasa melayu purba sudah pasti diingati jalan ceritanya yang menarik ini.  




Manakala gaya lukisan oleh Imran yang banyak dipengaruhi style lukisan oleh Ashley Wood dan Ben Templesmith  sudah pasti memukau peminat komik tempatan. Beliau bijak menggunakan warna yang bersesuaian dan kita akan merasakan turut berada pada zaman itu. 

(KLIK UNTUK LBIH JELAS)

Jadi, nak cerita banyak pun tak guna guna. Aku sarankan korang cepat-cepat order komik Badang ini (SILA LIHAT POSTER DI ATAS)dan berikanlah review korang pulak. Teruskan menyokong industri komik kartun tanah air. Nantikan, mungkin akan ada interview eksklusif bersama dua orang jejaka hebat ini. Sebarang idea boleh emel ke: akunapie@yahoo.com atau komen di www.facebook.com/AKUSEMPOIBLOG


01 Disember 2011

Interview Eksklusif Bersama Kartunis Froggypapa (KOMIK-M)


Salam istimewa kepada semua pembaca di blog ini. Setelah sekian lama tiada update, bukan kerana tiada bahan tetapi masa tidak mengizinkan (alasan). Oleh itu, pada post kali ini, AKU SEMPOI membawakan secara eksklusif interview bersama kartunis Froggypapa yang karyanya banyak bersama KOMIK-M. Antara nashkah popular beliau ialah Babap Boi yang mengisahkan Danial yang mempunyai kuasa ajaib, kalau nak tahu kena la beli komik ini ok. Selain itu, beliau turut menyumbangkan karya dalam kompilasi Aku, Kau & Facebook, Aku, Kau & Cuti Sekolah, Aku, Kau & Komik, Aku, Kau & Bola, Baju Raya Dari Syurga, Aku, Kau & Malaysia, dan komik terbaru beliau Lawak Orang Bujang. Ayuh layan interview bersama beliau.


aku_NAPIE  : Terima kasih kerana sudi meluangkan masa untuk ditemubual bersama AKU SEMPOI
Froggypapa: Sama-sama lah kita.Lagipun aku tengah tunggu nasik masak ni.So boleh la sambil-sambil lepak dengan kau.Eh,jemput la masuk.Ape kejadah duduk depan pintu ni kan?

aku_NAPIE  : Nama penuh dan asal dari mana?
Froggypapa: Nama penuh Mohd Faros Bin Amzas,asal aku JB.

aku_NAPIE  : Kenapa pilih Froggy Papa untuk nick name? Ada pengertian terhadap anda?
Froggypapa: Sebenarnya agak panjang ceritanya.Tapi aku pendekkan la.Dulu,bos aku mintak aku buat emel baru sebab emel lama banyak spam.Pastu aku carik nick baru la.Kebetulan ada gambar katak kat partition meja aku,so aku letak nama Froggy.Tapi punya ramai nama Froggy kat dunia ni kan?? So aku pikir punya pikir punya pikir,disebabkan wife aku dah nak beranak dan aku dah nak jadi bapak,aku pun letak la nama papa kat belakang tu.So jadi la Froggypapa.Tapi satu perkataan je,bukan Froggy Papa.Tapi yang bestnya nama ni melekat sampai semua orang panggil aku Froggy skrg.Aku pun dah lupa nama aku apa sebenarnya.Lawak kan? Lawak kan?? Kah kah kah! Eh,apasal kau buat muka menyampah ni?

aku_NAPIE  : Sejak bila minat melukis dan kartunis idola (dalam dan luar negara)?
Froggypapa: Aku tak pernah minat melukis ko tau tak?Malah takde dalam salasilah keluarga aku yang reti melukis.Sampai la tingkatan 3 baru aku start melukis.Tu pun sebab aku geram tgk kawan aku (Yusri Soaod) , reti melukis.Tup tup last last, aku jadi pelukis komik! Kalau tak mesti aku jadi penyanyi atau pelakon sebaris dengan Aaron Aziz.
Idola pulak bergantung pada zaman,masa skolah aku suka Akira Toriyama,Takehiko Inoue,Khoo Fuk Leong,Jae Lee...Masa awal kerja dulu aku suka Lambok,Jim Lee,Lee Chong Wei dan Lai Chee Kang.Hahahaha! Lek la kau buat muka serius je,tu yang aku buat lawak tu! Kah kah! XD

aku_NAPIE  : Pada tahun bila karya pertama dihasilkan/diterbitkan? Karya terbaru pula?
Froggypapa: Erm,karya first publish ialah dalam akhbar metro,masa tu aku baru tingkatan 4-5  kot?Aku pun tak ingat.Sayangnya keratan akhbar tu pun dah tak ada,sebab dah hilang.
Karya latest aku ialah Lawak Orang Bujang.InsyaAllah tahun depan ada 3 buah komik bakal muncul.Tajuk-tajuknya masih rahsia syarikat.

aku_NAPIE  : Karya terbaik setakat ni dan impian dalam kerjaya ni?
Froggypapa: Karya terbaik adalah komik pendek 'Aku Bola' yang dimuatkan dalam Komik Antologi Aku Kau Dan Bola : Separuh masa pertama". Dengan karya ini aku diberikan anugerah Penulis Terbaik dan Komik Terbaik bagi tahun 2011 di Anugerah PEKOMIK 2011. Err..maaf la jika kau tersinggung dengan lubang hidung aku yang kempas kempis ni.Aku bukan tengah eksyen,tapi memang aku dilahirkan hidung kembang.Hsnff..hsnff...hush hush..Wahahhaha!! PAdan muka kau,siapa suruh interview aku! Hahahha!

aku_NAPIE  : Inspirasi anda dalam berkarya? Punya tabiat tertentu semasa berkarya?
Froggypapa: Macam ni la,inspirasi tu bukan titik tolak untuk aku.Yang penting kena pandai ambik feel! Aku ni jenis orang yang suka memerhati atau observatif. Sebelum buat kerja,aku mesti ambik feel bagi sesuatu topik.Aku akan observe semua aspek,mempersoal pelbagai teori dalam otak aku,dan aku akan terus tulis.
Terus terang aku cakap,kalau aku nak tunggu inspirasi tu datang,sampai filem Avengers keluar wayang pun takkan datang idea tu! Apatah lagi filem Dark Knight Rises.
Tabiat biasa aku ialah dimana kebanyakkan pelukis/kartunis akan lukis/sketch idea mereka untuk boost idea,tapi aku tak,aku lebih suka menulis.Aku dapati aku akan stuck dengan idea sama bila aku sketch.Dan bila aku stuck aku akan tidur,bila aku dah tidur,sah-sah kerja tak siap.

aku_NAPIE  : Pendapat tentang industri komik di Malaysia kebelakangan ini?
Froggypapa: Insyaallah,semakin bagus.Semakin banyak peluang untuk artis berkarya dan terjamin.

aku_NAPIE  : Pendapat mengenai kerjaya sebagai kartunis sepenuh/separuh masa.
Froggypapa: Kata kuncinya ialah versatile.Di negara kita,peluangnya ada,namun audience tak banyak.Jadi kita kena banyakkan karya dalam bentuk lain.Contoh buku sekolah,novel, atau karikatur,animasi dan sebagainya.Jika mengharap 100% dari satu majikan,audience, dengan gaya lukisan yang sama je,memang tak cukup makan la jawabnya..Ok,cukup makan la,tapi takkan gemuk sikit...Ye, aku tau gemuk tak bagus,maksud aku makan sedap sikit la...Kau ni paham ke tak ni?Berbuih mulut aku.

aku_NAPIE  : Jika tidak terlibat dengan komik, bidang apakah yang diceburi?
Froggypapa: Aku nak jadi bomba..Eh apsal kau ketawa?Lempang kang.Aku ada bakat la memadam api la!

aku_NAPIE  : KOMIK - M menurut pandangan anda?
Froggypapa: Komik - M terbaik. Di Komik-M,aku boleh berkarya dengan lebih bertanggungjawab. Apa jua kerja kita,jika kita tahu sumbangan atau tanggungjawab sosial kita kepada masyarakat terlaksana,kita akan berpuas hati.Setidak-tidaknya bagi aku la.

aku_NAPIE  : Pesanan untuk mereka diluar sana yang ingin menjadi kartunis..
Froggypapa: Pesanan saya, apa jua jenis komik/kartun yang anda mahu buat,berkaryalah dengan jujur dan berilmu. Jangan nak glemer dan duit saja.


aku_NAPIE  : Camner peminat nak berhubung dengan anda? (facebook, blog, emel)
Froggypapa: Boleh la like page 'froggypapa' di FB.Aku layan korang sampai lebam kat situ.

aku_NAPIE  : Thanks sudi di temubual untuk blog AKU SEMPOI dan kitorang disini mengharapkan karya seterusnya dari anda.
Froggypapa: Hah ok la.Terima kasih la dtg ya.Nasik dah masak tu,tanak makan sekali?
Tapi nasi dgn kicap je la.Wife aku tak sempat masakkan tadi.Nak? Tak nak dah la kau.Bye.

Diharap korang dapat sedikit inspirasi dalam berkarya setelah membaca interview ini. Sebarang idea dan pendapat atau nak AKU SEMPOI interview kartunis faveret korang, sila emelkan cadangan ke akunapie@yahoo.com atau fan page AKU SEMPOI di: www.facebook.com/AKUSEMPOIBLOG dan twitter di: @BLOGAKUSEMPOI

09 November 2010

Artwork Cambest - Lukisan Pensil 3D




 
Ini merupakan sebahagian karya daripada Fredo iaitu seorang pelukis yang meminati gaya lukisan pensil 3 Dimensi. Biarpun hanya lukisan namun karyanya seolah-olah hidup. Lagi karya daripada Fredo boleh link ke blog dan deviantart beliau.

31 Julai 2010

Jeri Azhari - Bapa Pop Art Malaysia



Ahmad Azhari bin Mohd Nor atau lebih sinonim dengan panggilan Jeri telah berhijrah ke alam serba baru pada bening subuh 19 Julai 2006, hanya kira-kira dua setengah minggu usainya majlis pelancaran pameran solo (ke-8) beliau di Balai Seni Lukis Negara. Beliau dikebumikan di Sungai Siput, di tanah kelahirannya, negeri Perak Darul Ridzuan. Di saat pemergiannya, pameran instalasi bertajuk Integriti masih dibondongi khalayak dan peminat seni yang teruja dengan himpunan karya-karya bernuansa pop (genre yang menampilkan elemen/subjek kistch berkaitrapat dengan budaya massa dan konsumerisme). Sesudah Joseph Tan, Ismail Zain, Redza Piyadasa dan Ibrahim Hussein bermain dengan elemen popular, hampir tiada penggiat seni tampak tanahair yang cenderung menyelami Seni Pop seserius dan seyakin Jeri. Jeri teguh kerana Pop Art. Dia bergelandangan angkara Pop Art. Beliau gemilang disinar Pop Art. Tiada sesiapa yang dapat mentafsir ketaksuban Jeri dengan stail dan konsep Seni Pop yang ditatang selama ini. Walau pun mungkin tidak tercapai kirtana dunia glamor Warhol dan Lichtenstein, Jeri tetap dengan pendiriannya hingga ke akhir hayat.


Gejolak artistik Jeri tidak hanya terbatas kepada ekspresi melukis sahaja malah turut diluahkan melalui seni persembahan (performance art). Pada tahun 1999, kira-kira dua minggu sebelum kemunculan detik milenium, beliau mempersembahkan ‘In Search of Ahmad’ di studionya di Bangsar. Karya persembahan ini mempersoalkan tentang tujuan kewujudan manusia. Selama empat belas hari Jeri ‘berpuasa’ daripada makan dan bersuara (walau pun dengan si isteri) dengan tujuan menghindarkan diri daripada godaan dunia; berita, radio tv, rokok, politik, gossip, dan sebagainya. Untuk menguatkan fokus dan stamina beliau menggulung helaian suratkhabar dan majalah setiap hari yang pada akhir upacara ini menyaksikan lebih kurang 10,000 helaian kertas digubah menjadi sebuah karya instalasi. ISA (In Searh of Ahmad) turut dipamerkan sempena pameran solo bertajuk ‘Relations’ di Galeri Petronas KLCC pada tahun 2001.



Pada tahun 2002, beliau dan Sita menjayakan sebuah lagi karya seni performatif yang menggabungkan seni dan muzik di Zooz Cafe Gallery. Khalayak mengambil bahagian dalam acara berbentuk interaktif tersebut dengan berbual panjang bersama mereka mengenai pelbagai topik. Di waktu kemelut peperangan Iraq pada tahun 2003, beliau mengambil bahagian dalam acara kolaboratif bersama ‘500 children of homes’ untuk penghasilan kolaj gergasi bertajuk Children of Malaysia for World Peace di Jalan Ampang, Kuala Lumpur dan pada tahun 2004 beliau diundang untuk menghasilkan karya Imposibiliti dalam ruang publik Laman Seni di Balai Seni Lukis Negara.

Genap usianya setengah abad, setelah menjadi pelukis sepenuh masa hampir 20 tahun dengan kehidupan yang cuba merealisasikan filsafat Seni Pop, Jeri melangkah meninggalkan kita semua. Harap-harap diketemuinya baraqah alam yang lebih pop dalam keadaan yang tenang dan penuh gemerlapan. Tidak dapat disangkal lagi, ‘pop’ atau ‘Bapa Pop Art’ yang banyak menjadi guru kepada sebahagian penggiat seni ini pergi sebagai seorang lagenda setelah menjalani dugaan masa dan berjaya menancapkan namanya sebagai pelukis pop Malaysia di dalam persejarahan seni tampak tanahair. Malah nama Malaysia turut dijaja ke peringkat antarabangsa bila mana beliau terpilih oleh The Marquis Who’s Who Publication Board bagi kategori “Who’s Who In The World” (Edisi ke17, 2000), sebagai salah seorang tokoh yang telah membuktikan pencapaian yang baik dan konsisten sepanjang penglibatan dalam bidang yang diceburinya.

“Jeri, as the legend goes, is one artist of incredible self- denial, who eventually gave up his job as a graphic artist just to paint and paint and paint.” – Ooi Kok Chuen, The New Straits Times(arts), March 20th 1997.



Wasiat Jeri kepada para pelukis muda: “Jangan ke depan terlalu mendadak, ia akan menjahanamkan kamu! Masa diperlukan untuk sampai ke sana, wang datang dan pergi untuk memperbodoh dan membunuh pelukis seperti kamu; wang hanya untuk survival sehinggalah ia mendesakmu. Setiap orang harus bekerja dengan keaslian (originality) dan memilih arah berlandaskan pengalaman semasa dan lampau, akar, DNA. Tujuan menjadi seorang pelukis; Anugerah (The Gift) – kreativiti datang dari Pencipta (The Creator), untuk membalasNya, kembalikan kepada manusia, Dunia (The World). Cari dan kenalilah ‘insan’ di dalam dirimu, dengar kepada suara kalbumu; praktikkan dengan kebenaran untuk mendepang minda, ide dan kespontanan; keikhlasan untuk ketabahan; kesabaran sebagai cahaya petunjuk arah. Diri di sebalik karya adalah yang lebih utama dan ‘jangan terpinggir oleh sebab-sebab sendiri’. Para senior telah melakukan yang terbaik dengan menjaja obor seni; tanpa mereka kamu yang harus menjadi pioneer. Dengan segala ilmu tersebut (yang tidak dapat kamu belajar di sekolah-sekolah seni), bersama-sama kita dapat mengharungi gelora dan nescaya tidak lama lagi kamu akan faham karya-karya saya.”




Komik Keluang Man Kembali